1
Okt

Teks Ucapan Sambutan Hari Raya Aidilfitri

   Ditulis oleh: Admin   Kategori: Teks Ucapan

Selamat Hari Raya

1 Oktober 2009

Bismillahirahmanirahim…
Assalamualaikum wr. Wt.
Yang Berusaha Saudari Pengerusi Majlis,

Y.Berusaha En Wan Jamaluddin bin Wan Yusoff
Timbalan Ketua Pengarah
Jabatan Muzium Malaysia

Pegawai-pegawai Kanan
Jabatan Muzium Malaysia

Wakil-wakil dari JMM Wilayah

Para Tetamu jemputan khususnya daripada Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong, Selangor.

Seterusnya,

Dato’-Dato’ / Datin-Datin / Tuan-tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.
Buah pauh di tengah bendang
Jadi dagangan di tengah laman
Saudara jauh datang bertandang
Jabatan Muzium Alu-alukan

1. Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga Jabatan Muzium Malaysia serta hadirin sekalian. Saya berasa sungguh gembira kerana pada petang ini kita dapat bersama-sama meraikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh rasa muhibbah di dalam suasana mesra dan terbuka.

2. Adalah menjadi harapan saya agar majlis pada petang ini akan memberi peluang kepada semua warga JMM untuk merapatkan silaturrahim sambil menikmati juadah yang disediakan. Secara tidak langsung, ia dapat mewujudkan semangat kekeluargaan dan mengukuhkan perpaduan sesama kita. Ia juga memberi kesempatan kepada kita untuk saling bermaaf-maafan dan juga mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin.

3. Walaupun semangat kekeluargaan di tempat kerja tidak setebal pertalian keluarga sendiri, ia tidak kurang pentingnya dalam menentukan keharmonian sesebuah organisasi dan seterusnya negara. Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan kaum, kita seharusnya mengamalkan sikap muafakat dan berkerjasama di antara satu sama lain bagi menyumbangkan kepada pembangunan negara dan seterusnya membawa kepada kebaikan bersama. Bak kata pepatah ‘MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT’.

4. Di kesempatan ini juga, kita turut meraikan seramai 20 orang anak-anak yatim dari Rumah Amal Limpahan Kasih, puchong. Semoga dengan usaha kita ini, sedikit sebanyak dapat membantu menceriakan mereka.

5. Tidak lupa juga saya ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Jabatan ini.

6. Dengan itu, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh warga JMM dan juga hadirin sekalian.

Sungai disusur sehari-hari
Dalam gelap menagkap ikan
Mari menyusun sepuluh jari
Salah dan silap harap maafkan

Sekian,

Wabillahitaufiq walhidayah,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Artikel ini telah ditulis pada Khamis, Oktober 1, 2009 - 6:21 pm di bawah kategori Teks Ucapan. Anda boleh mengikuti artikel ini melalui RSS 2.0 feed.

Komen ditutup.