Kubur Atas Pokok
PELBAGAI cara digunakan oleh masyarakat dahulu untuk menyatakan penghargaan dan kasih sayang terhadap anggota keluarga yang sudah meninggal dunia. Kebanyakan mereka akan memberi pelbagai peralatan sebagai bekal malah tidak kurang pula yang menghias cantik keranda sebagai penghormatan untuk perjalanan yang kekal abadi.

Bagi suku Orang Asli di Pahang, Jah Hut, mereka membina penanda kubur berbentuk piramid yang mirip piramid tinggalan puak Mayan dan Aztec di Mexico serta Guatemala.Penolong Kurator Kanan Muzium Seni Kraf Orang Asli, Ahmad Zulkarnain Alias berkata, tidak mustahil sejarah panjang Orang Asli yang terdapat di negara ini mempunyai hubung kait dengan tamadun Mayan berdasarkan persamaan seni reka keranda yang digunakan kedua-dua etnik tersebut. Katanya, keunikan dan kesamaan reka bentuk tersebut jelas kelihatan pada keranda suku Jah Hut yang menduduki kawasan di sepanjang tebing barat Sungai Pahang di sekitar daerah Jerantut dan Temerloh. “Keranda yang digelar galang ini disusun secara bertingkat. Pada kebiasaannya ia menggunakan 16 batang kayu utama,” katanya ketika ditemui Jurnal di Kuala Lumpur minggu ini. Jelas Zulkarnain, kerja menyiapkan keranda dan penanda kubur tersebut dilakukan selepas hari ketujuh kematian. Katanya, empat batang kayu di bahagian paling atas akan diukir dengan pelbagai motif yang menjadi simbol membezakan mayat lelaki dan perempuan. “Lazimnya, mayat lelaki akan ditanam mengikut arah matahari terbenam manakala ukiran berbentuk silinder yang dipanggil ‘gunung berangkat’ diukir pada keranda,” kata Zulkarnain.
Bagi mayat perempuan, si mati akan ditanam menghadap matahari terbit dengan ukiran kerandanya merupakan hiasan mendatar yang digelar sekapur sirih. Tambah beliau, kayu yang sesuai dijadikan galang haruslah tahan lama dan lasak seperti cengal. Sebuah perigi turut digali pada bahagian kaki kubur kerana ia dipercayai dapat memudahkan si mati bangun untuk minum air sekiranya kehausan. Bercerita lanjut, masyarakat Jah Hut turut mengadakan kenduri buat si mati sebelum melakukan kerja-kerja membina
galang. Si mati akan dikebumikan dengan pakaian baru manakala barangan peribadi dan peralatan lain diletakkan di atas para di sekeliling piramid. Perkuburan suku Bateq yang menduduki kawasan Kuala Tahan dan Jerantul juga diselubungi unsur mistik dan seram berikutan dahan pokok besar menjadi taman khusus untuk si mati. Jelas Zulkarnain, kaum Bateq dipercayai menyemadikan si mati di atas pokok berikutan bimbang terlangkah atau terpijak kubur kerana perbuatan itu boleh menyebabkan nasih malang atau ditimpa penyakit yang sukar diubati. Justeru, suku Bateq mendirikan para-para di atas dahan pokok sebagai perkuburan mayat. “Tetapi sebab utama ialah untuk mengelakkan bau busuk. Mereka percaya cara itu membolehkan bau mayat tersebut bebas ke udara dengan mudah,” katanya. Anggota masyarakat suku Bateq yang meninggal dunia akan dimandi dan dibersihkan sebelum dipakaikan
pakaian lengkap.
Kemudian, mayat dibungkus dengan kain batik lepas dan diikat kemas supaya senang diusung ke kawasan perkuburan menggunakan pengusung yang diperbuat daripada buluh cincang. Lebih unik, kebanyakan perkuburan suku Bateq terletak jauh dari kawasan penempatan bagi mengelak penduduk terkena sial mayat. “Jika itu tidak dilakukan, mereka percaya hantu si mati akan mengikut mereka balik ke rumah,” kata Zulkarnain. Zulkarnain menjelaskan, masyarakat Bateq tidak memilih pokok yang khusus namun ia harus besar dan mempunyai dahan yang kuat untuk menampung para mayat. “Sekiranya tiada pokok besar, tiga pokok kecil yang berdekatan akan digunakan bagi membina para kayu berbentuk segi tiga,” katanya. Mayat akan diletakkan secara mengiring di atas para selepas tiga hari kematiannya. Tubuhnya di alas kulit kayu bersama semua harta miliknya. Berkongsi pengalaman ketika
membuat kajian mengenai keranda suku Bateq, Zulkarnain menjelaskan, dia pernah melihat sendiri mayat yang diletakkan di atas para tersebut. “Si mati baru dua bulan ‘dikebumikan’ di atas para tersebut. Ketika itu, air mayat masih meleleh melalui celahan para kayu tersebut dan baunya agak kuat,” cerita beliau. Sambungnya, mayat tersebut disemadikan sedemikian kerana ibu bapa si mati menginginkan pengkebumian dilakukan secara tradisi. Dahulu, kedua-dua kaum Jah Hut dan Bateq akan berpindah ke kawasan baru sekiranya berlaku kematian. Cuma sekarang, mereka memilih untuk mengkebumikan mayat sejauh yang mungkin dari kawasan kampung. “Jarak antara kampung dan tanah perkuburan mungkin mengambil masa sehingga dua jam perjalanan. “Ini dilakukan kerana mereka mempercayai adanya makhluk halus yang menjadi penunggu kubur si mati yang dikenali sebagai bes kubur,” ujar Zulkarnain. Bagi suku Bateq, mereka dikehendaki menghentikan segala rutin harian seperti berkebun dan menangkap ikan sebaik berita kematian rakan mereka disebarkan oleh Tok Batin. Andainya kerja-kerja masih diteruskan, ia dikhuatiri akan membuatkan si mati marah dan penduduk kampung ditimpa musibah



1Malaysia
Facebook Muzium Negara
Portal Jabatan Muzium Malaysia
Twitter Jabatan Muzium Malaysia
Kirim komen anda