20
Feb

Menyusuri Sejarah Secara Relaks

   Ditulis oleh: Admin   Kategori: Keratan Akhbar

MASUK saja ke perkarangan bangunan berwarna putih dengan seni bina Inggeris yang masih tersergam indah, penulis dan rakan media kagum melihatnya.

Mulalah kamera telefon bimbit yang sentiasa menjadi teman memainkan peranan merakam gambar untuk dimuat turun ke akaun facebook bagi tatapan kawan-kawan.
Masing-masing teruja melihat kehalusan seni bina Muzium Perak yang juga muzium pertama dan tertua di Malaysia.

Muzium Perak adalah salah satu daripada tiga muzium yang dikunjungi penulis menerusi Program Jom Santai @ Muzium Perak anjuran Jabatan Muzium Malaysia (JMM).

Dua lagi muzium yang penulis kunjungi ialah Muzium Matang dan Muzium Arkeologi Lenggong

Mengunjungi ketiga-tiga muzium itu, ia bagaikan membawa penulis menyusuri sejarah masa lampau dengan bermula ke muzium tertua di Malaysia, kemudian kehidupan tokoh terulung Tengku Menteri, Ngah Ibrahim Long Jaafar sebelum penjajahan Inggeris seterusnya ke tempat penemuan ratusan artifak purba manusia Zaman Paleolitik.

Muzium Perak tertua di Malaysia

Ditubuhkan pada 1883 dan siap sepenuhnya pada 1886, Muzium Perak adalah muzium tertua yang dibina khas untuk mengumpulkan dan mempamerkan pelbagai koleksi bahan sejarah, artifak, spesimen flora, fauna dan sosio budaya masyarakat di tanah Melayu.

Diasaskan Residen British ke-4 di Perak, Sir Hugh Low dan kurator pertamanya Leonard Wray yang ketika itu adalah penguasa Taman Bukit Larut (Maxwell Hill), Muzium Perak juga dijadikan pusat rujukan berkaitan ilmu botani dan geologi.

Memasuki perkarangan muzium, pameran sementara di Galeri A akan menyambut kedatangan pengunjung.

Bahagian yang paling menarik di Muzium Perak ialah zoologi yang dipamerkan di Galeri B, pameran alam semula jadi yang mempamerkan rangka pelbagai haiwan dengan saiz sebenar seperti harimau, kambing gurun, kuda, tapir serta kucing hutan termasuklah tengkorak gajah.

Di satu sudut, pengunjung akan berpeluang melihat rangka buaya berukuran kira-kira lapan meter yang dijumpai di daerah Matang 100 tahun lalu dan dikatakan sebagai buaya terpanjang di Malaysia ketika itu.

Apa yang akan membuatkan pengunjung lebih teruja ialah koleksi binatang yang diawet, bagaikan hidup.

Antara binatang yang boleh dilihat termasuklah pelbagai jenis burung, ikan yu, monyet, memerang, seladang dan burung layang-layang.

Di bahagian luar muzium, pengunjung boleh melihat beberapa artifak sejarah seperti kereta jenazah, motosikal, kereta kuda dan lanca yang digunakan pada abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Ia termasuk gerabak kereta api yang pernah digunakan oleh Perak State Railway pada 1897 dan pesawat pejuang yang pernah digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Muzium Perak dibuka setiap hari mulai 9 pagi hingga 5 petang dan masuk adalah percuma.

Mengenali Ngah Ibrahim di Muzium Matang

Muzium Matang di bina Ngah Ibrahim yang digelar Orang Kaya Menteri Paduka Tuan sebagai kediaman keluarganya dengan menggunakan batu-bata saja.

Bangunan itu juga kota dan juga pusat pentadbiran Larut seluas 0.8094 hektar.

Apabila Ngah Ibrahim meninggal dunia pada 4 Februari 1895, kota itu diselia pentadbiran Inggeris sehingga ia dijadikan Maktab Perguruan Melayu Matang pada 1913-1922 kemudian Sekolah Melayu (1923-1941) dan Markas Tentera Jepun pada 1942 hingga 1945.

Pada 1946, ia dijadikan semula sebagai Sekolah Melayu (1946-1984) dan kini Muzium Matang.

Berkunjung ke Muzium matang, pengunjung bukan melihat muzium sebaliknya rumah lama yang masih terpelihara yang dikelilingi tembok sebagai benteng pertahanan.

Muzium Matang mempamerkan artifak berhubung kait kronologi penubuhan bangunan dan penggunaan bangunan itu sendiri bermula daripada keluarga Che Long Jaafar, Ngah Ibrahim, pemerintahan Inggeris, pendudukan Jepun, Maktab Latihan Perguruan Melayu Matang dan sekolah Melayu.

Memasuki ruang pameran di tingkat bawah, pengunjung akan disambut oleh replika gajah Long Jaafar yang bernama Si Larut.

Si Larut haiwan istimewa kerana selepas dikatakan hilang selama tiga hari, apabila ditemui, sebahagian badannya terutama kakinya dipenuhi bijih timah dan inilah permulaan era perlombongan bijih timah.

Mendaki anak tangga kayu yang masih kukuh itu, di bahagian atas pengunjung berpeluang melihat ruangan bilik tidur Ngah Ibrahim dengan katil lama yang masih seperti asal.

Pengunjung juga berpeluang melihat mahkamah yang dijadikan tempat perbicaraan pejuang Melayu yang ditahan Inggeris.

Muzium Matang dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 5 petang kecuali Aidilfitri dan Aidiladha. Bayaran masuk percuma.

Penemuan Perak Man di Muzium Arkeologi Lenggong

Muzium Arkeologi Lenggong adalah muzium Prasejarah Pertama di Malaysia yang dibina di kawasan tapak Paleolitik 75,000 tahun seluas 8.16 ekar.

Terletak dalam Lembah Lenggong, di Kota Tampan, ia adalah satu-satunya muzium prasejarah di Malaysia yang mempamerkan maklumat berkaitan prasejarah negara khususnya bukti awal dan artifak dari zaman Paleolitik, Neolitik-Gangsa hinggalah zaman penempatan masyarakat orang Asli.

Muzium Arkeologi Lenggong itu ditubuhkan disebabkan Lembah Lenggong begitu signifikan dalam memberi pengetahuan terhadap prasejarah negara sejak 200,000 tahun lalu.

Muzium ini juga mempamerkan semua bukti tinggalan masyarakat pemburu, pengumpul yang tinggal di dalam gua batu kapur di Lembah Lenggong seperti alat-alat batu, tembikar, barang perhiasan dan acuan serta tapak gangsa dan peralatan orang Asli.

Melangkah masuk ke ruang pameran Muzium Arkeologi Lenggong, pengunjung akan disajikan dengan pameran dari zaman Paleolitik dan zaman Neolitik-Gangsa.

Apa yang menarik, pengunjung juga berpeluang melihat replika penemuan rangka manusia terawal semenanjung dan paling lengkap di Asia Tenggara iaitu Perak Man, berusia antara 10,000 hingga 11,000 tahun dan mengalami kecacatan genetik pertama di dunia di dalam replika Gua Gunung Runtuhan.

Bagaimanapun, rangka Perak Man yang dipamerkan di situ bukanlah yang sebenar kerana rangka asalnya kini dipamerkan di Muzium Negara.

Muzium juga mempamerkan secara terbuka semua jenis batuan yang terdapat di Hulu Perak dari yang berusia 300 ribu tahun di taman Geologi Hulu Perak.

Selain ruang pameran, pengunjung juga boleh melihat pemandangan lembah Lenggong serta sungai Perak dari Menara Pandang setinggi empat tingkat.

Muzium Arkeologi Lenggong dibuka kepada pengunjung setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang dan ditutup pada Aidilfitri dan Aidiladha. Bayaran adalah percuma.

Artikel ini telah ditulis pada Ahad, Februari 20, 2011 - 8:24 pm di bawah kategori Keratan Akhbar. Anda boleh mengikuti artikel ini melalui RSS 2.0 feed.

11 comments so far

syabil
 1 

saya telah pergi ke muzium tertua ini dan banyak fakta sejarah yang perlu diketahui terutama bagi student universiti

Februari 21st, 2011 at 8:57 am
sumayyah
 2 

betul syabil…perlu diingat…jgn sesekali kita lupa akan sejarah..kerana sejarah itulah mengajar kita pembentukan jati diri…

Februari 22nd, 2011 at 10:46 am
 3 

Negeri Perak memang kaya dengan sejarah yang menarik.

Februari 23rd, 2011 at 11:24 am
Tshen
 4 

Rangka-rangka tulang mamalia di Taiping Museum ada banyak yang salah dilabel. Sila betulkan.

Jun 5th, 2011 at 10:56 am
Admin
 5 

Terima kasih atas teguran anda. Pihak JMM mengambil maklum mengenai perkara ini dan tindakan susulan akan dibuat.

Terima kasih
“Kunjungilah Muzium”

Jun 8th, 2011 at 1:24 pm
zue
 6 

Kenapa rangka perak man dipindahkan ke muzium negara? Sedangkan asalnya sejarah perak man memang di lenggong perak.

Julai 11th, 2011 at 10:22 pm
Admin
 7 

Salam 1Malaysia,

Terima kasih di atas perhatian puan dalam perkara ini. Perak Man dipindahkan dan dipamerkan di Muzium Negara kerana hendak memberi peluang kepada lebih ramai pelawat baik pelawat tempatan atau pelawat luar negara melihat dan mendapat maklumat mengenai penemuan manusia pra sejarah. Muzium Negara menerima lebih ramai pengunjung berbanding pengunjung ke Muzium Arkeologi Lenggong.

Sekian terima kasih.

Julai 12th, 2011 at 1:30 pm
Anis
 8 

Siapakah yg telah menjumpai Rangka Perak Man??

September 13th, 2012 at 9:17 pm
Admin
 9 

Anis,

Prof. Emeritus Dato’ Siti Zuraina Bt Abdul Majid dan penyelidik dari USM

Terima Kasih
“Kunjungilah Muzium”

Oktober 5th, 2012 at 8:10 pm
 10 

mengapa ianya dinamakan perak man?? macam mana boleh tahu??

Mac 2nd, 2013 at 8:25 pm
 11 

Saya dengar ‘Perak Man’ yang berada di Kuala Lumpur akan pulang ke Lenggong Valley. Bila ini akan jadi?

September 6th, 2013 at 11:11 pm

Kirim komen anda

Nama (*)
E-mel (tidak akan dipamerkan) (*)
URI
Komen