18
Dec

Majlis Perkahwinan Kini Boleh Diadakan di Muzium

   Ditulis oleh: Admin   Kategori: Keratan Akhbar

Akhbar : KOSMO !

KANGAR – Majlis perkahwinan dan hari jadi adalah antara kegiatan yang dibenarkan di perkarangan muzium mulai sekarang dan ia merupakan antara langkah memasyarakatkan institusi itu kepada umum.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail berkata, pihaknya akan membenarkan muzium yang mempunyai halaman luas sebagai lokasi penganjuran majlis perkahwinan dan hari jadi.

Bercakap kepada media selepas melancarkan program “Jom Santai di Muzium Kota Kayang” di sini hari ini, beliau berkata dengan kegiatan yang sering diadakan di kawasan muzium akan memberi peluang kepada orang ramai menghayati peranannya.

Selama ini muzium sering menjadi lokasi bagi sesi fotografi pengantin dan sudah sampai masanya ia dibuka sebagai lokasi majlis perkahwinan, katanya sambil menambah bahawa setiap penganjuran akan dikenakan bayaran.

Beliau berharap dengan peningkatan kegiatan di muzium seluruh negara, jumlah pengunjung akan terus meningkat.

Tahun ini Jabatan Muzium mensasarkan kehadiran 3 juta pengunjung dan sehingga kini sebanyak 2.7 juta telah melawat 21 muzium kendalian jabatan itu, katanya.

Sementara itu pelbagai kegiatan diadakan sempena program Jom Santai di Muzium Kota Kayang yang berlangsung selama dua hari termasuk pertunjukan wayang kulit, pertandingan kukur kelapa, gelek roda, anyaman ketupat, memancing dan boling kelapa. – Bernama

Artikel ini telah ditulis pada Sunday, December 18, 2011 - 11:51 am di bawah kategori Keratan Akhbar. Anda boleh mengikuti artikel ini melalui RSS 2.0 feed.

Kirim komen anda

Nama (*)
E-mel (tidak akan dipamerkan) (*)
URI
Komen