Oleh IZRA ABD RAHMAN
(Yang mengikuti Program Jom Santa®
Galeria Perdana, Langkawi anjuran JMM)
SESIAPA sahaja akan berasa dihargai apabila mendapat tahu hadiah atau cenderamata yang diberi kepada seseorang suatu masa dahulu masih lagi disimpan rapi. Lebih bermakna apabila Tun Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri kita yang disegani di seluruh dunia itu yang sudi menyimpan pemberian tersebut.
Semua ini bukanlah mustahil dengan tertubuhnya Galeria Perdana, tempat menyimpan koleksi hadiah yang diterima Tun Mahathir dan isteri, Tun Siti Hasmah Mohd Ali sepanjang beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Terletak di Kilim, Langkawi, galeria yang dibuka pada 1996 ini kini menyimpan sebanyak 9,155 hadiah yang pernah diterima daripada pembesar negara lain, syarikat korporat, termasuklah pemberian kecil daripada kanak-kanak.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Ibrahim Ismail berkata keunikan Galeria Perdana terltak pada kepelbagaian koleksi hadiah milik Tun Mahathir dan isteri yang boleh dilihat orang ramai secara dekat. “Tidak sekadar melihat, pengunjung secara tidak langsung akan mendapat sedikit sebanyak pengetahuan dengan melihat pameran koleksi berserta sejarah dan latar belakang pemberian sesuatu hadiah,” katanya kepada Mingguan mStar

Seorang pengunjung sedang melihat gambar Tun Mahathir sedang meraikan kanak-kanak dalam satu majlis ketika beliau menjadi Perdana Menteri
Selaras matlamat JMM menjadikan melawat muzium secara amnya dan Galeria Perdana secara khususnya sebagai budaya, JMM sentiasa membuat penambahbaikan dari segi peragaan, pencahayaan dan maklumat tambahan supaya pengunjung yang ke Langkawi tidak lupa singgah di Galena Perdana. Antara koleksi unik yang terdapat di bangunan dua tingkat dengan senibina Timur ini termasuklah lukisan, kraftangan, sijil penghargaan, barangan kristal dan seramik, plak, kereta serta kad ucapan.

Koleksi hadiah kristal yang dipamerkan di Blok A Galeria Perdana
Bagi menyuntik elemen segar dan pengunjung tidak jemu melihat koleksi yang sama, hanya 2,000 koleksi yang akan dipamerkan dalam satu masa dan akan ditukar ganti dalam tempoh tertentu. “Sehingga kini kita masih berurusan dengan Tun Mahathir kalau-kalau beliau mahu beri sumbangan lagi. Beliau sentiasa memberi sokongan untuk sesuatu yang positif” tambah Ibrahim.

Pasu laker dengan ketinggian kira-kira 10 kaki, pemberian Thalexim, Republik Sosialis Vietnam menghiasi gerbang masuk Galena Perdana.
Hadiah Tun Mahathir, milik rakyat Malaysia
WUJUDNYA Galeria Perdana disebabkan pegangan Tun Mahathir sendiri yang menyifatkan hadiah yang diterimanya sebagai kepunyaan rakyat Malaysia. Koleksi yang dipamerkan juga adalah tanda penghargaan beliau terhadap kemurahan hati semua penyumbang. Sebagai tanda persahabatan dari seluruh dunia, pameran ini mampu memberi peluang kepada pengunjung untuk menghargai kepelbagaian seni dan budaya dunia.
Menghiasi gerbang Galeria Perdana ialah ukiran kreatif pada batu yang dinamakan “Windows of Opportunity’ Ia menjadi begitu bermakna kerana diukir pengukir terkenal dari Zimbabwe, Gerald Takawira. Ciri utama ukiran tiga meter ini bermaksud jendela peluang” bagi negara yang dilahirkan melalui wawasan, strategi dan polisi Tun Mahathir Selain Galeria Perdana, hasil karya Takawira banyak menghiasi tempat-tempat terkenal di seluruh dunia. Beliau juga mampu mengukir batu Leopard, antara batu paling keras di dunia.

Gerbang masuk ke Galeria Perdana
Hadiah lain yang dapat dilihat di sini termasuklah gambar beliau dan isteri yang dirakamkan ketika bersarapan sebelum ke Perhimpunan Agung Umno 2003, kereta-kereta pemberian yang pernah diguna oleh beliau, baju-baju tradisional negara luar dan banyak lagi. Galeria Perdana dibuka setiap hari dari pukul 8.30 pagi sehingga 5.30 petang pada hari biasa dan 6 petang pada cuti sekolah.

Gambar menunjukkan Tun Mahathir bersarapan dengan isterinya Tun Siti Hasmah di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor sebelum bertolak ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menghadiri Perhimpunan Agung Umno pada 21 Jun 2003.



1Malaysia
Facebook Muzium Negara
Portal Jabatan Muzium Malaysia
Twitter Jabatan Muzium Malaysia
2 comments so far
Kirim komen anda